Monday, January 19, 2009

Konsep harta dalam islam

Wang, harta kekeayaan dan pendapatan merupakan rezeki yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya. Masyarakat Islam digalakan agar mencari dan mengumpul harta dari sumber yang halal memandangkan dunia ia adalah kebun bagi menuai hasil untuk kehidupan yang sejahtera di akhirat. Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut ayat 17 yang bermaksud: “Maka mintalah rezeki itu di sisi Allah.” Begitu juga, harta kekayaan yang digunakan mengikut landasan syara’ akan membawa keberkatan di dunia dan keselesaan di akhirat. “Dan jadikanlah sebahagian kekayaan dan kurnia yang Allah berikan kepadamu di jalan Allah dan amalan untuk kehidupan akhirat.” ( Surah al-Qashah : 77 )

Seperti juga rezeki-rezeki yang lain, harta kekayaan merupakan amanah yang mesti diuruskan dengan sebaik mungkin dan mengikut ketentuan syara’. Pemilik hakiki harta dan kekayaan adalah Allah swt. Harta yang diamanahkan akan di persoalkan tentang sumber, perbelanjaan serta penggunaannya. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi yang bermaksud : “ Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatk adalah harta kekayaan.”

Sumber harta merupakan seperkara yang amat dititik-beratkan dalam Islam. Ia haruslah berasal dari sumber yang halal, samada harta itu merupakan pendapatan, simpanan mahu pun warisan. Segala sumber rezeki yang boleh merosakan harta, akal fikiran dan segala pemberian Allah kepada manusia adalah haram. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling dirundung penyesalan di hari kiamat ialah orang yang memperolehi harta dari sumber yang tidak halal lalu menyebabkanya masuk neraka.” (HR. Al-Bukhari)

Begitu juga cara kita membelanjakan wang tersebut. Islam melarang umatnya dari melakukan pembaziran. Cara hidup yang sederhana merupakan sesuatu yang ideal dalam Islam. Manusia mestilah menggunakan haknya sejajar dengan apa yang diperintahkan dan dibenarkan oleh syara’. Manusia tidak boleh mengunakan haknya yang boleh memudaratkan orang lain, individu atau kumpulan, sama ada memang bermaksud memudartkan ataupun tidak. Manusia tidak boleh membazir atau merosakan sesuatupun daripada hartanaya kerana perbuatan ini dilarang oleh syara’. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Israa ayat 27 bermaksud: “ Sesungguhnya mereka yang membazir itu adalah saudara syaitan.”
Rahmah dan Ihsan di dalam Menguruskan Harta
Agama Islam terbina di atas dasar rahmah dan ihsan. Kedua nilai ini membentuk keperibadian Muslim dan diterjemahkan di dalam perwatakan serta sikap di dalam kehidupannya. Ia merentasi semua aspek kehidupan, termasuk di dalam menguruskan harta. Oleh yang demikian, Islam mensyariatkan perkongsian harta demi untuk menjaga masalah ahli keluarga yang lain, menerusi institusi faraidh, baitul mal dan sebagainya.

Di dalam membahagiakan harta, seseorang Muslim harus bersifat rahmah dan mempunyai belas ihsan yang berpatutan dengan ahli keluarga lain. Ini bermakna, ia harus memikirkan tentang implikasi apabila ia menuntut haknya dari faraidh contohnya. Adakah tuntutan sedemikian akan menyebabkan seseorang berada di dalam kesusahan kerana akan hilang keperluan asas, seperti tempat berteduh? Ini adalah di antara persoalan yang harus difikirkan terlebih dahulu.
Dengan harta, seseorang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah melalui sedekah dan menolong mereka yang susah. Tanggungjawab seseorang terhadap hartanya juga mesti ditunaikan. Zakat, nafkah, sedekah mestilah diberikan kepada mereka yang berhak sebagaimana Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Az-zariyat ayat 19 yang maksudnya: “ Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”
Malah, harta boleh dijadikan alat untuk menyerlahkan sifat keihsanan seseorang dan juga memperkukuh silaturrahim antara saudara mara. Imam Ibnu Abi Jamrah berkata: “ Silaturrahim itu boleh dengan harta, dengan memberikan keperluan mereka, dengan menola keburukan dari mereka, dengan wajah yang berseri-seri serta dengan do’a.”
Umat Islam telah disebut sebagai sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia dan Nabi kita telah diutus sebagai rahmat bagi seluruh alam. Oleh itu, kita mesti menggunakan segala sumber yang ada untuk menghidupkan visi tersebut. Ini termasuklah membelanjakan sebahagian daripada harta yang Allah kurniakan kepada kita untuk membantu mereka yang memerlukan, tanpa batasan agama, bangsa mahu pun Negara.
Tanpa berteraskan rahmah dan keihsanan di dalam mengurus harta, ia boleh membawa kepada perpecahan dan pergaduhan, terutama di kalangan ahli keluarga dalam masalah harta warisan. Maka sebagai orang Islam, kita berkewajipan menerima ketentuan Allah dalam harta peninggalan, termasuk wasiat dan faraidh. Adalah perlu ditekankan bahawa harta bukanlah milik kita selamanya. Pemilik harta yang hakiki hanyalah Allah s.w.t. dan ia harus ditadbir menurut ketentuanNya

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates