Friday, April 10, 2009

Talqin Untuk Diri Sendiri


Bismillah hir rah man nir rahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup. Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai (isi nama sendiri) Bin IBU (sendiri), Wahai (isi nama sendiri) Bin IBU (sendiri), Wahai (isi nama sendiri) Bin IBU (sendiri),hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah. Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta jan ganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah Wahai (isi nama sendiri) Bin IBU (sendiri), bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala. Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?


Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.


Hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku, Baitullah itu kiblatku, malahan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddurrasulullah".



Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar. Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalin walhamdulillahi rabbil alamin.

Setiap yang bernafas, Pasti akan Mati - "Kullu nafsin za iqatul maut" Firman Allah swt, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran." Surah Al-A'sr Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: "Sampaikanlah pesanku walaupunpun satu ayat..."


Thursday, April 9, 2009

Apabila Agama Mengalami Evolusi?

Hari ini aku baru sahaja terdengar dua buah lagu, di mana begitu mengusik jiwaku untuk berfikiran kritis dan mengkritik. Aku menoleh, rupanya ia dari sebuah klip video.

Sungguh tak ku sangka di masa ini sudah ada kaedah baru lagi moden untuk memohon ampunan kepada Tuhan. Sungguh kretif sekali, iaitulah dengan melagukan kalimah istighfar atau kalimah taubat. Lebih mengesankan apabila ia turut diiringi dengan muzik-muzik kontemporari yang antaranya dengan petikan gitar dan paluan drum ala-ala lagu balada romantik.
Lebih menarik, dia si penyanyi adalah seorang wanita tidak bertudung dengan rambut mengurai. Diadun dengan gerak lenggok seorang wanita sudah tentunya.

Mungkinkah dengan berbuat begitu, mereka menyangka Tuhannya akan terhibur dan berasa sayu terhadap rayuan hambanya? Mungkinkah ada extra value (ganjaran tambahan) bakal diperolehi berdasarkan adunan tambahan yang dilakukan pada zikirnya?

Kalau dulu, kita mungkin pernah mendengar lagu "Alhamdulillah" yang dinyanyikan oleh Yasin & kumpulan Too Phat yang ala-ala hip hop. Mungkin itu adalah di antara revolusi manusia dalam melaksanakan ibadah zikirnya kepada Tuhan. Memuji Tuhannya dengan melaungkan kalimah hamdalah beriringan muzik hip hop ditambah dengan iringan joget tari bernama rap. Wahh, semakin jauh kini manusia ber-evolusi dalam agamanya.

Kalau dulu mungkin kaum kristian (Nashara) yang melagukan ayat-ayat biblenya di gereja-gereja mereka (juga sehingga sekarang). Namun, tak ku sangka, umat Islam zaman ini pun sudah mula mengorak langkah seperti mereka.

Haruskah aku mengerti, sampai manakah lagi mereka akan terus berevolusi. Rupa mana lagikah yang mereka mahukan? Tidak cukupkah dengan apa yang dibawakan Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam kepada kita semua yang berupa al-Qur'an & as-Sunnah. Malah telah siap dengan tafsirnya, iaitu atas kefahaman para sahabat-sahabatnya Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam yang diredhai. Susahkah? Mengapa mahu begitu bijak mendahului utusan Allah sendiri dan para sahabat-sahabatnya?


petikan dari: http://an-nawawi. blogspot. com/

perihal darah

Darah itu ada beberapa jenis:

1 - Darah Haid

Darah ini najis, menurut kesepakatan ulama. Telah disebutkan dalil yang menunjukkan kenajisannya.

2. Darah manusia

Terdapat perselisihan pendapat mengenainya. Pendapat yang masyhur dari kalangan para ulama mazhab fiqh bahwasanya darah adalah najis. Namun, mereka tidak memiliki hujjah yang kuat. Kebanyakan mereka menganggap bahawa darah itu diharamkan berdasarkan dalil al-Quran sebagaimana dalam firman-Nya:

“Katakanlah, ‘Tiadalah aku perolehi dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi; kerana sesungguhnya semua itu kotor’.” (al-An’am, 6: 145)

Menurut mereka, pengharaman itu sekaligus menunjukkan kenajisan, sebagaimana yang mereka lakukan (nyatakan) berkenaan dengan khamar. Dan ini sudah jelas. Tetapi telah dinukil dari segolongan besar ahli ilmu berkenaan ijma’ kenajisannya. Perbahasannya akan dibawakan satu persatu.

Di sebelah pihak yang lain, sebilangan ulama muta’akhirin, di antaranya asy-Syaukani, Shiddiq Khan, al-Albani, dan lbnu Utsaimin berpendapat mengenai kesuciannya. Kerana, menurut mereka, tidak ada ketetapan ijma’. Mereka berhujjah dengan dalil-dalil sebagaimana berikut:

A - Hukum asal segala sesuatu itu suci, hingga ada dalil yang menunjukkan kenajisannya. Kami tidak pernah mengetahui bahawasanya Rasulullah memenintahkan untuk menyucikan darah selain darah haid. Padahal banyak orang sering mengalami luka atau sejenisnya. Seandainya darab itu najis, nescaya Rasulullah akan menjelaskannya kerana masalah ini sangat penting.

B - Kaum Muslimin, dari dahulu hingga sekarang, tetap diperintahkan mengerjakan solat dengan luka-luka yang ada pada tubuh mereka. Bahkan ada yang mengalirkan darah yang sangat banyak yang tidak tidak boleh ditahan pengalirannya. Namun, tidak pernah diriwayatkan dari Nabi bahawa beliau memerintahkan untuk mencucinya. Tidak pemah pula diriwayatkan bahawasanya mereka mempersoalkan tentang darah-darah yang keluar tersebut.

Al-Hasan berkata, “Dari dahulu sehinggalah sekarang kaum Muslimin tetap mengerjakan solat dengan luka-luka pada tubuh mereka.” (Sanadnya sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari secara mu’allaq (1/336), dan asalnya dari lbnu Abu Syaibah dengan sanad yang sahih, seperti mana disebutkan dalam Fathul Bari (1/337))

Dalam hadis sahabat Anshar “Bahawasanya ketika ia solat pada malam hari, ia dipanah oleh seorang musyrik. Lalu ia mencabut panahnya dan meletakkannya. Hingga ia dipanah sehingga tiga kali. Kemudian ia ruku’, sujud, dan terus melanjutkan solatnya, sementara darah terus menaIir.” (Hadis sahih, diriwayatkan secara mu’allaq oleh aI-Bukhari (1/336), dan asalnya dari Ahmad dan selainnya dengan sanad yang sahih)

Al-Albani di dalam kitabnya, Tamamul Minnah (hal. 51-52), mengatakan, “Hadis ini mempunyai hukum marfu’, kerana mustahil Nabi tidak mengetahuinya. Kalaulah darah yang banyak keluar itu membatalkan wudhu’nya, tentulah Rasulullah akan menjelaskannya. Kerana menunda penjelasan pada waktu yang diperlukan adalah tidak boleh, seperti yang difahami dalam kaidah ilmu ushul. Jika kita beranggapan Rasulullah tidak mengetahuinya, namun hal ini tidak tersembunyi bagi Allah yang tidak ada perkara yang tersembunyi bagi-Nya di langit ataupun di bumi. Kalaulah ia membatalkan wudhu, atau najis, tentulah Allah telah mewahyukan tentang hal itu kepada Nabi-Nya, sebagaimana kenyataannya yang sudah jelas bagi sesiapa pun.”

Dalam hadis tentang di mana terbunuhnya Umar bin al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu disebutkan, “Umar terus mengerjakan solat, sementara darahnya membasahi sekujur tubuhnya.” (Hadis sahih, diriwayatkan oleh Malik (82); al-Baihaqi (1/357) dan selainnya, dengan sanad shahih) Yakni darahnya terus mengalir.

C - Hadis Aisyah berkenaan kisah kematian Sa’ad bin Muadz, ia berkata, “Sa’ad bin Muadz terluka pada peperangan Khandak kerana dipanah oleh seorang laki-laki pada pelipisnya. Lalu Rasulullah membuatkan khemah di masjid agar mudah untuk menjenguknya. Ketika malam tiba, melebarlah lukanya, lalu mengalirlah darah dan lukanya hingga membasahi khemah yang ada di sampingnya. Mereka berkata, “Hai penghuni khemah, apa yang kalian kirim kepada kami?” Ketika mereka melihatnya, ternyata luka Sa’ad telah pecah dan darahnya memancar/mengalir dengan deras. Kemudian beliau pun meninggal.” (Hadis sahih, diriwayatkan oleh Abu Dawud (3100) secara ringkas; dan ath-Thabrani dalam al-Kabir (VI/7))

Penulis berkata: Tidak diriwayatkan bahawasanya Nabi memerintahkan untuk menyiramkan air padanya. Apalagi hal ini terjadi di masjid, sebagaimana beliau memerintahkan untuk menjiruskan air pada air kencing orang Arab badui, sebagaimana dalam suatu hadis yang mana nabi memerintahkan agar bekas kencing orang badui yang kencing di masjid tersebut dibasuh/disucikan dengan air. (Rujuk; Hadis Riwayat al-Bukhari, 6025. Muslim, 284)

D - Ketika lbnu Rusyd menyebutkan perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang darah ikan. Beliau menyebutkan sebab perselisihan mereka, iaitu tentang masalah status bangkainya. Pihak yang berpendapat bangkainya itu masuk dalam keumuman pengharaman, maka mereka menghukumi darahnya juga demikian. Sementara pihak yang mengeluarkan bangkai ikan dan keumuman dalil, maka mereka mengeluarkan hukum darahnya dari hukum tersebut, kerana diqiyaskan pada bangkai.

Saya katakan, mereka juga berpendapat sucinya mayat manusia. Demikian juga darahnya, menurut kaedah yang mereka lakukan. Oleh kerana itu, Ibnu Rusyd mengulas setelahnya, “Nash hanya menunjukkan najisnya darah haid. Adapun selain itu maka hukumnya tetap pada hukum asal yang telah disepakati di antara kedua pihak yang berselisih, iaitu suci. Dan, tidak boleh dikeluarkan dari hukum asal, kecuali dengan nash yang dengannya hujjah dapat ditegakkan.”

Jika ditanyakan: Mengapa tidak diqiyaskan saja dengan darah haid? Bukankah darah haid adalah najis?

Maka kita jawab: ini adalah qiyas yang tidak tepat.

Kerana darah haid adalah darah kebiasaan kaum wanita. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang telah Allah tetapkan bagi kaum wanita keturunan Adam.” (Hadis sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari (294) dan Muslim (1211))

Rasulullah bersabda tentang darah istihadhah, “Itu adalah darah yang berasal dari urat.” (Hadits sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari (327) dan Muslim (333))

Kemudian darah haid adalah darah yang sangat kental dan berbau tidak sedap. Ia menyerupai tinja dan air kencing, bukan yang keluar dari selain dua jalur tersebut.

3 - Darah haiwan yang boleh dimakan dagingnya

Pendapat mengenainya seperti pendapat mengenai darah manusia, dalam hal yang tidak adanya dalilnya yang menunjukkan kenajisannya. Jadi, hukumnya dibawa kepada hukum asalnya (iaitu suci).

Pendapat yang menyatakan kesuciannya ini juga dikuatkan oleh:

Hadis dari Ibnu Mas’ud, Ia berkata, “Rasulullah pernah solat di Ka’bah, sementara Abu Jahal dan kawan-kawannya sedang duduk-duduk. Lalu sebahagian mereka saling berkata pada sebahagian yang lain, “Siapakah di antara kalian yang mahu mengambil kotoran unta milik keluarga si fulan, kemudian mengambil kotoran, darah dan tahinya, lalu membawanya ke mari. Kemudian membiarkannya hingga ketika Muhammad sujud, maka ia meletakkan kotoran tersebut di atas belakangnya?” Bangkitlah orang yang paling celaka di antara mereka. Ketika Rasulullah sujud, ia meletakkannya di antara kedua pundak beliau, dan Nabi tetap sujud. Mereka pun tertawa-tawa.” (Hadis sahih, diriwayatkan oleh aI-Bukhari (240) dan Muslim (1794))

Maka, seandainya darah unta itu adalah najis, tentulah Nabi akan melepas pakaiannya atau keluar dari solatnya.

Diriwayatkan dengan sahih “bahawasanya Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu pernah mengerjakan solat, sementara pada perutnya terdapat kotoran dari darah unta yang baru disembelihnya, tapi dia tidak berwudhu.” (Sanadnya sahih, dikeluarkan dalam Mushannaf ‘Abdurrazzaq (1/25) dan lbnu Abi Syaibah
(1/392))

Wallahu a’lam, walaupun demikian, ijma’ ulama menyatakan bahawa darah itu haram dan najis hukumnya. Antara yang berpendapat sedemikian adalah Ibnul Qayyim, Ibnu Hazm, Ibnu Hajar al-Asqalani, Ibnu ‘Abdil Barr, Ibnul Arabi, dan Imam al-Nawawi.

Maka, ianya termasuk di dalam persoalan perbezaan pendapat dan khilaf di kalangan ulama yang seharusnya kita berlapang dada.

Disunting dari; Kitab Shahih Sunnah, Terbitan Pustaka at-Tazkia, Jilid 1, oleh Abu Malik Kamal bin as-Sayyid Salim.

9 petua dari Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa yang mustajab

1. Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.”

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: Allah akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya.

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doanya, iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.”

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Aku dilarang membaca Al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat di antara hamba dan tuhanNya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.”

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah dari godaan syaitan, kerana binatang tersebut melihat syaitan.”

6. Ubadah Bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan,Kemudian mengatakan, atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. Apabila beliau berwudhu (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.”

7. Ata Bin Abi Rabah berkata “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda, sesiapa yang membaca surah Yassin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.”

8. Hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.”

9. Hadith dari Abu Hurairah, “Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda, pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.”


gambar-gambar sempena seminar PASAK


keseluruhan pelajar yang sedang mengikuti seminar pengukuhan aqidah menerusi sains dan al-qur'an yang terdiri dari pelajar jabatan kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elekterik dan Perdagangan.

pelajar-pelajar lelaki sedang khusyuk mendengar penerangan dari penceramah.

sebilangan pelajar perempuan yang sedang mengikuti seminar terdiri dari pelbagai agama dan bangsa.

Prof Madya Dr Arif Kasmo sedang menyampaikan ceramah Pengukuhan Aqidah melalui Sains dan Kemukjizatan Al-Qur'an


Template by:
Free Blog Templates